KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menyokong usaha dilakukan sayap belia Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), yang banyak terbabit dalam pelbagai aktiviti membantu belia dan pelajar sekolah terutama ketika pandemik COVID-19.
Ini susulan hasil luar biasa kumpulan belia dalam PBSM yang mampu mengumpulkan lebih 240,000 belia dalam pasukan berkenaan dan menggerakkan 320,000 sukarelawan terbabit dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kementeriannya membenarkan kumpulan belia PBSM menggunakan segala fasiliti dan kemudahan milik KBS untuk digunakan persatuan berkenaan.
“Sebenarnya ada banyak ruang untuk KBS membantu PBSM menggerakkan kumpulan belia mereka dan berdasarkan pencapaian sudah dilakukan terutama sebelum dan ketika pandemik COVID-19 melanda negara, kita yakin mereka mampu membawa pembaharuan kepada generasi pelajar sekolah serta remaja.