Blog Posts

Mesin ATM Beras Pertama Di Johor Bahru, Beri Manfaat Kepada Golongan Asnaf

Sumber : Harian Metro MASJID INDIA di Jalan Duke, Johor Bahru menjadi masjid pertama di Johor yang memiliki dan menyediakan khidmat mesin ATM beras secara percuma buat golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar, Gerard Soosay berkata, mesin disediakan untuk tujuan beramal itu dijangka memberi manfaat kepada ribuan golongan asnaf sekitar bandar raya itu.

Beliau berkata, mesin berkenaan disumbangkan Sunway Group dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan 600 kilogram beras disumbangkan pihaknya sebagai usaha permulaan untuk melihat keberkesanannya di masa akan datang.

“Semangat memberi semula kepada masyarakat sentiasa mekar dalam budaya korporat Sunway. Sesungguhnya kami juga amat gembira kerana dapat menjadi badan korporat yang menyediakan mesin ATM beras pertama di negeri ini.

“Seiring dengan pelancaran mesin ini, kita juga menyerahkan sejumlah kad RFID dan ia akan diserahkan oleh beberapa pihak kepada penerima yang layak.

“Pemegang kad yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf ini pula kemudiannya boleh mengambil satu kilogram beras di mesin ini pada setiap hari Jumaat,” katanya pada Majlis Pelancaran Mesin ATM beras pertama Johor di Masjid India, semalam.

Majlis itu disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan turut dihadiri Pengarah Sunway Iskandar, Datuk Khairil Anwar Ahmad.

Selain di Johor, Gerard berkata, beberapa lagi mesin ATM beras berkenaan akan disumbangkan ke negeri lain sempena program Sunway For Good Raya 2019 yang dianjurkan kumpulan syarikat korporat berkenaan.

“Untuk program ini, kita mempunyai perancangan untuk menyumbangkan sebanyak lapan mesin ATM beras di seluruh Malaysia yang mana mesin pertamanya diletakkan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah pada 13 Mei lalu.

“Dalam usaha yang sama, kita juga menyasarkan untuk memberi sumbangan lebih 6,000 kilogram beras kepada golongan yang layak menerima bantuan,” katanya.

TUNKU TEMENGGONG JOHOR BERANGKAT KE MAJLIS PENYERAHAN MESIN ATM BERAS DI MASJID INDIA, JOHOR BAHRU

YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Mesin ATM Beras di Masjid India, Jalan Duke, Johor Bahru hari ini (25 Mei).

Tunku Idris yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia berkenan menyerahkan Mesin ATM Beras itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid India, Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang juga selaku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Terdahulu, Tunku Idris turut berkenan menyempurnakan gimik pelancaran bubur lambuk yang diadakan di perkarangan masjid itu.

Tunku Idris kemudian menerima sumbangan zakat perniagaan daripada , Dato’ Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid bernilai RM 159,304.08 mewakili Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sebelum berangkat pulang, Tunku Idris turut menyampaikan sumbangan bungkusan keperluan harian kepada 180 golongan asnaf.

https://www.satujohor.net/?p=21134

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *