Hadirin yang menghadiri Majlis Apresiasi Staf dan Sukarelawan Ambulans serta Ramah Mesra Buka Puasa

Bahagian Perkhidmatan Ambulans Kebangsaan, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) pada Jumaat telah menganjurkan Majlis Apresiasi Staf dan Sukarelawan Ambulans serta Ramah Mesra Buka Puasa di Galeri Tunku Tan Sri Shariman, Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM. 

Majlis yang dihadiri lebih 55 orang ini turut menerima kehadiran Tuan Haji Badrol Hisham bin Zaki, Ahli Lembaga Pengelola merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Ambulans Kebangsaan dan tetamu jemputan Shafry Azizan, Ketua Penyelarasan PETRONAS Cub Prix. 

Ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung (Pemangku) BSMM, Dato’ Danial Iskandar Abd Rahman

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung (Pemangku) BSMM, Dato’ Danial Iskandar Abd Rahman yang turut berkongsi pengalaman beliau menyertai pasukan ambulans melakukan kerja-kerja bantuan kecemasan. Menurut beliau, walaupun sumbangannya hanya sebagai pembawa beg kecemasan ketika itu, tetapi perasaan bangga untuk membantu mereka yang tidak berdaya itu tidak dapat dilupakan. 

Dalam majlis sama, sijil penghargaan turut diserahkan kepada Staf Ambulans Bersara iaitu Paramjit Singh, Pegawai Perkhidmatan Kecemasan yang telah berkhidmat bersama pasukan ambulans BSMM selama 38 tahun dan Ramaban Bin Yusof @ Hamdan, Pegawai Perkhidmatan Kecemasan – Teknikal yang telah berkhidmat selama 43 tahun .