Heroes in RED: Muhammad Azizi bin Shah Abdul

Di sebalik setiap misi kemanusiaan, tersembunyi insan-insan luar biasa yang menjadi tulang belakang kepada gerakan bantuan yang tidak mengenal penat dan waktu.

Salah seorang daripada mereka adalah Muhammad Azizi bin Shah Abdul, seorang pemuda berusia 24 tahun dari Kuala Terengganu, yang telah mempamerkan dedikasi dan keberanian luar biasa melalui penglibatannya dalam Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Dilahirkan pada 29 April 2001 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Azizi memulakan pendidikan awalnya di SMK Tengku Bariah dan berpendidikan hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun begitu, pengalaman dan penglibatan beliau dalam BSMM jauh mengatasi sekadar kelulusan akademik.

Langkah Pertama dalam Dunia Kemanusiaan

Penglibatan Azizi bermula sejak usia muda, diperkenalkan kepada BSMM sewaktu Darjah 3. Namun, penglibatan aktifnya benar-benar bermula semasa Tingkatan 1 apabila dia dipelawa oleh gurunya, Cikgu Wan Hazahari untuk menyertai pasukan pertolongan cemas semasa acara sekolah. Dari situlah, benih minatnya terhadap kerja-kerja bantuan kemanusiaan mula tumbuh subur.

Tular Kerana Keikhlasan, Bukan Sensasi

Nama Azizi pernah menjadi sebutan ramai di Terengganu atas dua insiden besar yang mempamerkan keprihatinannya yang luar biasa.

Yang pertama melibatkan seorang wanita OKU dikenali sebagai Mak Esah, yang mengalami osteoarthritis dan hanya mampu mengesot ke tandas. Azizi, melalui rangkaian bantuan bersama rakan-rakan, mengambil inisiatif untuk menghantar makanan dua kali sehari kepada Mak Esah, bahkan memenuhi permintaan pada tengah malam sekalipun.

Insiden kedua pula melibatkan tindakan pantas menyelamatkan seorang pelancong dari luar negara yang mengalami muntah berterusan dan kegagalan fungsi pernafasan. Tindakan Azizi dan pasukannya yang tangkas dari memberi bantuan pernafasan sehinggalah membantu intubasi di hospital berjaya menyelamatkan nyawa pesakit itu.

Ilmu Ditimba, Pengalaman Dicari

Bermula sebagai pemandu ambulans selepas SPM, Azizi kemudian mengikuti kursus Pre-Hospital Care Level 1 dan meneruskan penglibatan sebagai Assistant Medical Ambulance (AMA). Tanpa bimbingan rasmi, dia belajar secara langsung daripada doktor, MA (Penolong Pegawai Perubatan) dan rakan-rakan sepasukan. Ilmu yang diperolehnya digunakan sepenuhnya dalam situasi sebenar dari membantu mangsa kemalangan jalan raya hingga memberi sokongan semasa banjir.

Cinta dan Setia pada Sabit Merah

Walaupun ditawarkan peluang kerjaya lain dengan gaji lebih tinggi, Azizi tetap setia bersama BSMM.

“Tawaran gaji di tempat lain biasanya lebih tinggi, tapi saya tak sampai hati nak tinggalkan Bulan Sabit Merah,” katanya.

Baginya, kepuasan membantu dan menggembirakan orang lain jauh lebih bermakna daripada imbuhan kewangan.

Inspirasi dari Arwah Ibu

Satu pesanan dari arwah ibunya menjadi api semangat yang terus membakar jiwa Azizi.

“Pergilah, buat baik pada orang,” pesan ibunya seminggu sebelum diserang strok. Kata-kata itu menjadi penggerak utama setiap kali semangatnya goyah.

Nasihat Kepada Generasi Muda

Azizi menyeru agar lebih ramai melibatkan diri dalam bidang sukarelawan dan bantuan kecemasan.

 “Bukan sekadar seorang dalam satu rumah, tapi semua perlu tahu asas bantuan cemas”, meluahkan pendapatnya.

Menurutnya lagi, banyak kes kecemasan boleh diselamatkan jika ahli keluarga tahu melakukan sekurang-kurangnya CPR atau menghentikan pendarahan sebelum bantuan tiba.

Muhammad Azizi bin Shah Abdul adalah contoh nyata bahawa wira tidak semestinya berjubah atau bersenjata. Ada yang bersarung vest BSMM dan membawa kit kecemasan, berlari membantu insan tidak dikenali yang memerlukan. Beliau adalah wajah kemanusiaan sebenar, seorang Hero in RED.

Azizi ketika hadir ke Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM untuk ditemubual
Azizi ketika hadir ke Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM untuk ditemubual