Penerima bantuan wang tunai bergambar bersama Perusuhjaya Tinggi Kanada, Jodi Robinson (lima dari kanan) dan Setiausaha Agung BSMM, Dato Danial Iskandar (empat dari kiri) di SK Kg. Besut, Setiu

Setiu, Terengganu – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah melancarkan program bantuan wang tunai kepada mangsa yang terkesan banjir di 3 buah negeri iaitu Kedah (Kubang Pasu & Alor Setar), Kelantan (Pasir Mas & Tumpat) dan Terengganu (Hulu Terengganu, Setiu & Kemaman).

Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 3000 keluarga bagi memberikan mereka sokongan kewangan yang mendesak untuk pelbagai kegunaan.

Setiap isi rumah akan menerima :

  • RM350 wang tunai yang akan dipindahkan terus ke akaun mereka
  • RM350 baucar wang tunai yang akan digunakan untuk membeli perkakasan rumah dan peralatan kebersihan
  • RM200 tambahan baucar wang tunai kepada keluarga yang mempunyai anak bersekolah sebagai salah satu inisiatif BSMM dalam progam “Back-to-School”

Secara keseluruhan, setiap keluarga akan menerima RM700 dan bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah akan menerima bantuan sebanyak RM900 daripada BSMM.

Selain daripada bantuan kewangan, BSMM turut menghulurkan bantuan kepada komuniti berbentuk pendidikan dan peralatan sebagai kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana ;

  • Aktiviti  pembersihan yang melibatkan komuniti setempat untuk membersihkan kawasan kegunaan orang ramai yang terkesan banjir
  • Menyediakan penapis air dan “jerry can” kepada setiap keluarga bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi bencana pada masa akan datang
  • Latihan rawatan air bagi memastikan komuniti mempunyai akses air bersih ketika bencana

Program ini mencerminkan komitmen kami untuk tidak hanya memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas, tetapi juga untuk memperkasakan komuniti dengan alatan dan pengetahuan bagi menghadapi bencana pada masa akan datang.

Program ini dapat dilaksanakan hasil sumbangan rakan korporat BSMM iaitu Coway, IHH Healthcare, Daikin, dan CIMB Bank, serta penderma antarabangsa termasuk Suruhanjaya Tinggi Kanada, Palang Merah Switzerland, Palang Merah Singapura dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah Bulan Sabit Merah (IFRC).

Penerima bantuan wang tunai ini telah disaring selepas aktiviti penilaian yang dijalankan oleh BSMM bersama agensi-agensi kerajaan negeri bagi mengenalpasti mangsa yang benar-benar layak untuk menerima bantuan. Secara keseluruhan, program bantuan wang tunai ini telah menelan belanja lebih RM3 juta untuk disumbangkan kepada 3000 keluarga mangsa banjir di 3 buah negeri.

Dato’ Danial Iskandar Bin Abdul Rahman,
Setiausaha Agung