Bulan Sabit Merah Malaysia Derma RM300 Ribu Untuk Pembangunan Semula Palu

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan menderma sebanyak RM306,000 kepada Palang Merah Indonesia (PMI) dalam usaha memulihkan beberapa pusat pembelajaran dan fasiliti awam di Palu selepas daerah itu dilanda gempa bumi sekuat 7.4 skala ricther yang mengorbankan lebih 2100 nyawa pada September 2018 lalu.

Walaupun selepas 6 tahun peristiwa itu berlaku, namun proses pemulihan masih banyak yang perlu dilakukan dan sehingga kini, masih ramai anak-anak yang tidak dapat ke sekolah kerana kekangan fasiliti yang masih belum dibaiki.

Selepas semakan yang kami lakukan, terdapat 3 fasiliti pendidikan yang perlu dibaik pulih di bawah Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, dan juga tambahan 4 fasiliti pendidikan di bawah Kementerian Agama Indonesia.

Fasiliti pendidikan yang perlu dibaiki ini meliputi daripada peringkat pra sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi di sekitar Kota Palu dan Kabupaten Sigi.

Projek ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula September 2024 sehingga Januari 2025 sehingga projek pemulihan selesai. Palang Merah Indonesia (PMI) juga perlu memberikan laporan kewangan bulanan kepada pihak Bulan Sabit Merah Malaysia mengenai perbelanjaan yang mereka gunakan dalam proses pemulihan di kedua-dua kota ini.

Acara penyerahan cek simbolik antara Tn Hj Hakim Hamzah, Setiausaha Agung BSMM dan A.M. Fachir, Setiausaha Agung PMI telah berlangsung di Bintang Bali Resort, Bali pada 5 September 2024 yang turut disaksikan oleh Pengerusi BSMM, YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

HAJI HAKIM BIN HAJI HAMZAH

Setiausaha Agung