KUALA LUMPUR, 17 Februari 2024 – Majlis Malam Puisi Kemanusiaan
Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berlangsung pada hari ini di Balai
Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis perasmian
telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan
dan turut disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan
Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim
Mu’adzam Shah,Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Kebangsaan
(BSMM).
BSMM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan
Majlis Malam Puisi Kemanusiaan bertemakan “Melangkaui Nilai
Kemanusiaan” yang berlandaskan 7 prinsip asas Pergerakan Palang
Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa iaitu kemanusiaan,
kesaksamaan, keberkecualiaan, kebebasan, khidmat sukarela, bersatu dan
kesejagatan.
Matlamat utama majlis ini adalah bagi menyatukan masyarakat dalam
semangat kemanusiaan melalui seni puisi dan juga dapat meningkatkan
kerjasama antara BSMM dan DBP serta memperkukuhkan usaha bersama
dalam menyokong misi kemanusiaan.
Seramai 20 pemuisi yang terdiri dari pelbagai budaya dan latar belakang
telah mendeklamasikan puisi mereka yang membawa kisah dan suara yang
membangkitkan semangat kemanusiaan yang berlandaskan prinsip asas
kemanusiaan, kesaksamaan, keberkecualian, kebebasan, khidmat
sukarela, bersatu dan kesejagatan.
“Puisi ialah bahasa sejagat yang bercakap terus ke hati, mengatasi
halangan dan mengingatkan kita tentang kemanusiaan dan berfungsi
sebagai jambatan yang merentangi jurang antara budaya, bahasa dan
pengalaman,” kata Tunku Puteri Intan Safinaz, Pengerusi Kebangsaan
BSMM pada pembuka bicara program berkenaan.
Beliau juga menyatakan bahawa puisi yang dideklamasikan oleh para pemuisi memberikan
inspirasi bagi membina dunia yang lebih adil, aman dan inklusif untuk generasi akan datang dan
berperanan sebagai pemangkin perubahan, sekali gus berusaha untuk melahirkan masyarakat
yang lebih penyayang.
Majlis Malam Puisi Kemanusiaan tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara Dato Dr. Mohd Anuar bin Hj. Rethwan, Tan Sri Dr.
Jemilah Mahmood, Penasihat Kebangsaan BSMM, Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, Dr.
S. Selva Jothi A/L K.Selvadurai Timbalan Pengerusi Kebangsaan BSMM dan Dato Sri Suhaimi Bin
Hj Yacob Naib Pengerusi Kebangsaan BSMM.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, sila hubungi:
Jabatan Komunikasi
Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia,
Emel: communications@redcrescent.org.my
Nombor Telefon: +603 2144 5122