Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mengaktifkan pelan kecemasan dengan mengerahkan seluruh sukarelawan ke lokasi banjir di seluruh negara khususnya di Pantai Timur sejak 28 November 2024.
Operasi pemindahan mangsa sedang giat dilaksanakan, dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menggunakan aset-aset BSMM seperti bot dan pacuan empat roda (4WD) yang telah diposisikan lebih awal di kawasan berisiko tinggi.
Setakat ini, lebih 400 sukarelawan sedang bekerja di lokasi-lokasi banjir di lebih 150 PPS di seluruh negara untuk menyediakan masakan panas, sokongan psikososial, dan promosi kebersihan selain pemantauan banjir untuk menghantar maklumat kepada Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM bagi tindakan susulan.
Daripada 5000 kotak pek makanan yang telah disediakan oleh Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM bersama Nestle Malaysia, 3010 telah berjaya diserahkan kepada penerima mangsa banjir di Kedah, Terengganu, dan Kelantan.
BSMM bekerjasama erat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, dan komuniti setempat untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, terutama golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya.
TABUNG KECEMASAN BANJIR 2024 juga turut diaktifkan kepada sektor korporat dan masyarakat umum untuk menyokong usaha ini. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk operasi pasca banjir seperti kerja-kerja pembersihan, penyediaan dan pembaikan sumber air bersih, serta sokongan logistik yang diperlukan.
HAJI HAKIM BIN HAJI HAMZAH
Setiausaha Agung