PENGENALAN
1. Pada tahun ini Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan mengadakan pertandingan melukis bagi murid sekolah Belia dan Rangkaian Muda dan juga fotografi bagi Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) bersempena menyambut Hari Persidangan Geneva, 12 Ogos 1949 yang ke 60. Pertandingan akan diadakan dalam lingkungan masa yang serentak bermula bulan Jun dan diakhiri dengan acara kemuncak penyampaian hadiah dan perasmian Acara Larian Kemanusiaan dan Hari Bendera pada Hari Sabtu 8 Ogos 2009 di Tasik Perdana Kuala Lumpur.
TUJUAN
2. Tujuan mengadakan pertandingan adalah untuk:
a. Memberi kesedaran kepada murid-murid sekolah dan juga ahli-ahli PBS untuk memahami betapa pentingnya Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) di kalangan masyarakat sedunia.
b. Mengingati dan memahami nilai-nilai murni kemanusiaan sejajar dengan prinsip-prinsip Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
c. Mendedah, melihat dan memperkukuhkan penglibatan Belia dan Rangkaian Muda BSMM di sekolah dan juga ahli-ahli PBS di dalam kegiatan BSMM
d. Memberi peransang kepada belia-belia yang lain untuk mengikuti kegiatan BSMM
KAEDAH DAN SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN MELUKIS
3. Pertandingan melukis diadakan dalam dua bahagian. Bahagian Pertama ialah untuk kanak-kanak Rangkaian Muda Sekolah Rendah dan Bahagian kedua ialah bagi Belia Sekolah Menengah.
4. Melukis bagi Belia Sekolah Menengah:
a. Tiap-tiap Cawangan BSMM Negeri dikehendaki memilih dan menghantar satu kumpulan Belia dari Sekolah Menengah terdiri dari 3-4 orang pelajar/pelukis sahaja, yang mana semasa pertandingan mereka dikehendaki melukis dalam kumpulan satu lukisan besar pada kain canvas putih berukuran 2½ meter panjang dan 1 meter lebar dalam masa satu jam. Pertandingan akan diadakan pada Hari Sabtu, 8 Ogos mulai jam 9.00 Pagi Hingga jam 10 pagi di Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Bahan-bahan untuk melukis akan disediakan di tapak melukis di Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
b. Pertandingan ini dibuka kepada semua murid sekolah tidak terhad kepada murid/Belia BSMM sahaja. Untuk menyertai pertandingan ini, murid/guru sekolah atau guru pemimpin hendaklah menghubungi BSMM yang terdekat di sekolah masing-masing untuk mendaftar. Senarai Cawangan BSMM disertakan di Lampiran bersama ini. Pegawai BSMM akan memilih satu kumpulan 3 atau 4 orang sahaja murid untuk memakili Cawangan atau Negeri masing-masing.
c. 3 atau 4 orang murid, tidak semestinya dari sekolah yang sama dan mereka yang dipilih hendaklah datang ke Kuala Lumpur untuk melukis seperti dinyatakan dalam perenggan 4a di atas.
d. Tema lukisan ialah berkenaan nilai-nilai murni kemanusiaan atau prinsip-prinsip Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
e. Melapor: Pelukis-pelukis termasuk guru pemimpin/wakil Cawangan dikehendaki berada di tempat penginapan yang disediakan di Kuala Lumpur mulai hari Jumaat 7 hb. Ogos 2009.
f. Memberi tahu kehadiran: Cawangan BSMM dikehendaki memberi tahu IPK berkenaan kehadiran peserta kepada IPK selewat-lewatnya pada 27 Julai
2009 supaya dapat diaturkan kemudahan penginapan, makan dan pengangkutan.
g. Perbelanjaan tambang pergi-balik bagi pelukis-pelukis yang datang untuk bertanding termasuk seorang Guru/Wakil Cawangan Pengiring adalah di atas urusan Cawangan dan peserta masing-masing.
h. Pengangkutan semasa di Kuala Lumpur akan disediakan oleh BSMM.
5. Melukis bagi Kanak-Kanak Rangkaian Muda Sekolah Rendah:
a. Kanak-kanak sekolah rendah dikehendaki melukis di tempat sekolah masing-masing yang dikelolakan oleh guru sekolah yang akan memilih 4 lukisan yang terbaik dan menghantarnya ke Cawangan BSMM yang terdekat. Pegawai Cawangan BSMM akan memilih 4 lukisan yang terbaik dan menghantarnya pula ke IPK BSMM di Kuala Lumpur dan mestilah sampai sebelum Hari Isnin, 27 hb. Julai 2009.
b. Jenis medium lukisan, pensil, crayon dan pestel adalah tidak terhad dan ukuran kertas mestilah tidak melebihi 420mm X 297mm.
c. Tema lukisan ialah berkenaan nilai-nilai murni kemanusiaan atau prinsip-prinsip Palang Merah dan Bulan sabit Merah.
d. Pemenang 1-3 dan 4 lagi sagu hati akan dipilih oleh ahli Jawatankuasa Panel di IPK dan mereka yang berjaya akan diberi tahu untuk mengambil hadiah. Pemenang 1-3 sahaja akan dipanggil untuk datang ke Kuala Lumpur mengambil hadiah. Perbelanjaan ini, tambang pergi balik, dan penginapan pada pada 7 Ogos 2009 akan dibiayai oleh BSMM.
KAEDAH DAN SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN FOTOGRAFI UNTUK PASUKAN BANTUAN SUKARELA (PBS) SAHAJA
6. Pertandingan hanya dibuka untuk PBS sahaja. Peserta dikendaki menghantar satu keping gambar berukuran 6R (6”x 8” cm). Gambar hendaklah dihantar bersama negative filemnya sekali bagi SLR camera, dan soft copy digital file image bagi Digital Camera kepada Cawangan masing-masing. Tiap-tiap Cawangan BSMM Negeri dikehendaki memilih tidak lebih dari 4 keping gambar terbaik dan menghantarnya ke IPK sampai sebelum Hari Isnin, 27 hb Julai 2009.
7. Pemenang 1-3 dan 4 lagi sagu hati akan dipilih. Pemenang akan diberi tahu dan untuk mengambil hadiah, pemenang 1-3 sahaja akan dipanggil dan perbelanjaan pergi balik dari Cawangan BSMM ke Kuala Lumpur dan penginapan pada 7 Ogos 2009 akan dibiayai oleh IPK.
HADIAH-HADIAH KEPADA PEMENANG
8. Melukis Untuk Belia BSMM dari Sekolah Menengah (Kumpulan 3-4 orang & seorang Guru Pemimpin/Wakil Cawangan) :
a. Pertama – Wang tunai RM 1,800.00
b. Kedua – Wang tunai RM 1,300.00
c. Ketiga – Wang tunai RM 850.00
9. Hadiah Melukis Untuk Kanak-Kanak Rangkaian Muda Sekolah Rendah:
a. Pertama – Wang tunai RM 300.00 (untuk peserta sahaja) dan tambang pergi balik ke IPK termasuk Guru Pemimpin/Wakil Cawangan)
b. Kedua – Wang tunai RM 200.00 (untuk peserta sahaja) dan tambang pergi balik ke IPK termasuk Guru Pemimpin/Wakil Cawangan)
c. Ketiga – Wang tunai RM 100.00 (untuk peserta sahaja) dan tambang pergi balik termasukGuru Pemimpin/Wakil Cawangan)
d. 4 Sagu hati – RM 50.00 tiap-tiap pemenang.
10. Hadiah Pertandingan Fotografi Untuk PBS:
a. Pertama – Wang Tunai RM 300.00 dan tambang pergi balik ke IPK
b. Kedua – Wang tunai RM 200.00 dan tambang pergi balik ke IPK
c. Ketiga - Wang tunai RM 100.00 dan tambang pergi balik ke IPK dan
d. 4 Sagu hati – RM 50.00 tiap-tiap pemenang
SIJIL PENGHARGAAN
11. Sijil Penghargaan akan diberi juga kepada semua pemenang dan juga kepada semua peserta bagi Belia BSMM Sekolah Menengah yang hadir melukis pada pertandingan di Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
